Tuesday, September 4, 2012

~~ KISAH MAYAT BERJALAN DI SULAWESI.. ~~


Foto: dari : Cerita Dan Renungan
~~ KISAH MAYAT BERJALAN DI SULAWESI.. ~~

INDONESIA yang dihuni pelbagai etnik sememangnya terkenal dengan upacara berunsur mistik. Antara adat unik tersebut ialah ritual ‘mayat berjalan’ yang dipanggil ma’nene yang masih diamalkan oleh etnik Baruppu yang mendiami Tana Toraja di Sulawesi Selatan.

Etnik pribumi yang mendiami kawasan Pergunungan Sesean ini menganggap semangat ahli keluarga yang telah mati akan kekal bersama ahli keluarga yang masih hidup. Lantaran itu, mereka sangat menghormati mayat.

Menurut ketua masyarakat Baruppu, Pongtiku, ma’nene merupakan ritual khas untuk memuliakan mayat dan mengenang jasa si mati. Ia diadakan setiap tiga tahun sekali.

“Waris si mati akan menurunkan keranda ahli keluarga mereka dan menjalankan beberapa ritual khusus tanda memuliakan mayat.

“Mayat kemudiannya dibersihkan, dibawa berjalan pulang ke rumah dan dipakaikan pakaian baharu,” katanya.

Upacara ma’nene dipercayai mula diamalkan ratusan tahun dahulu oleh seorang pemburu binatang bernama Pong Rumasek.

“Satu hari, ketika Pong berburu di hutan tebal, dia terjumpa dengan rangka mayat. Oleh kerana simpati dengan keadaan mayat yang tidak terurus, dia membungkus mayat tersebut dengan baju yang dipakainya.

“Selepas itu, mayat itu diletakkan di tempat yang lebih sesuai.

“Sejak itu, rezeki Pong melimpah-ruah. Setiap kali keluar berburu, dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong, malah hasil tanamannya semakin menjadi.

“Pong juga dikatakan sering ditunjukkan di mana tempat persembunyian haiwan buruan oleh mayat yang pernah dibantunya itu.

“Sejak itu, Pong beranggapan, mayat yang sudah tinggal tulang-belulangjuga perlu dimuliakan dan itu adalah amanatnya yang menjadi pegangan kaum Baruppu hingga ke hari ini,” jelas Pongtiku.

Bagi waris yang mahu melakukan upacara ma’nene, persiapan dilakukan sejak awal pagi lagi.

Seperti Tumonglo, seluruh ahli keluarganya akan berkumpul di rumah sehari sebelum ma’nene untuk membuat persiapan.

“Sebelum mayat dibawa pulang ke rumah, kami perlu menyembelih kerbau dan babi terlebih dulu.

“Upacara ini diraikan bukan sahaja sesama keluarga tetapi dengan seluruh penduduk kampung,” ujarnya.

Jelas Tumonglo lagi, walaupun ada dalam kalangan ahli keluarganya sudah memeluk agama Kristian, mereka masih kuat berpegang kepada adat Baruppu.

“Mereka tetap hadir untuk menghormati upacara ini. Walaupun tidak terlibat secara langsung, sekurang-kurangnya mereka masih datang untuk meraikan ahli keluarga yang telah meninggal dunia,” katanya.

Selesai menyembelih kerbau dan babi pada awal pagi, sebahagian besar ahli keluarga akan pergi ke kawasan perkuburan di tebing gunung batu Tunuan bagi menunggu keranda milik datuk Tumonglo yang meninggal dunia tahun lalu dibawa turun.

“Kerja menurunkan keranda dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkannya daripada terjatuh. Sebarang kecuaian boleh merosakkan keadaan mayat di dalamnya, ” ujar lelaki ini.

MAYAT yang telah diberi persalinan baharu akan disimpan semula di liang batu.

Sementara itu, di bawah tebing kubur, waris-waris lelaki akan berganding tangan membentuk bulatan sambil meratib ma’bong bagi mengiringi keranda yang diturunkan.

“Ma’bong adalah satu lagu yang melambangkan ratapan sedih ahli keluarga yang ditinggalkan si mati.

“Bait-bait liriknya juga memberi semangat kepada waris yang masih hidup untuk lebih bersemangat selepas ketiadaan si mati,” katanya.

Sebaik sahaja keranda kusam berbungkus kain merah itu mencecah papan pelantar, jasad mayat datuk Tumonglo dikeluarkan.

“Sebaik sahaja dikeluarkan, mayat akan diletakkan dalam posisi berdiri sebelum dibawa berjalan pulang ke rumah.

“Sesampainya di rumah, rangka akan dibersihkan menggunakan berus halus.

“Dalam upacara ma’nene, waris mesti memastikan mayat tidak mencecah tanah dalam apa keadaan sekali pun. Itu pantang larangnya.

“Apabila mayat sudah bersih, pakaiannya digantikan dengan persalinan baharu. Tahun ini, saya memilih kemeja batik serta sepasang sut berwarna hitam untuk datuk.

“Selepas semuanya selesai, mayat akan terus dibiarkan berdiri. Jika si mati itu adalah orang tua, anak-anak akan pergi kepadanya dan memberi tunduk hormat.

“Jika si mati masih mempunyai ibu bapa, mayat akan dibawa berjalan untuk menghadap orang tuanya bagi mendapatkan sembah restu dan memohon doa,” katanya lagi.


[]...MANKIND IS ONE...[]

No comments: